Tiada yang lebih indah berbanding sebuah persahabatan yang diikat kukuh dengan nilai ukhuwwah Fillah pula bersulam rasa kasih dan cinta kerana Allah swt.
Persahabatan inilah menjalin tenaga dan menguatkan saf perjuangan dari ancaman pelbagai anasir yang merosakkan amal jamaei dan thiqah berjamaah .
Sendi utama persahabatan ini ialah ghayah dan hadaf yang bersatu di atas prinsip amal Islami biarpun mungkin berbeza approach dalam melaksana atau merealisasikannya .
Jamaah menjadi ceria dan anggotanya gembira apabila orientasi organisasinya berlandaskan nilai persahabatan yang menepati piawaian yang dikehendaki oleh sebuah Gerakan Islam .
Sebaliknya mendung akan mengiringi sepanjang sessi atau musim andai jamaah kehilangan nilai persahabatan ini . Tentu sahaja krisis serta konflik mudah tercetus dan paling tidak " perang dingin" sesama anggota akan wujud apabila makna sebuah persahabatan tercalar atau dibiarkan tercemar dek pelbagai virus negatif yang menular dikalangan anggota .