Sunday, March 20, 2011

Bila Thiqah tercalar




Kalau handphone yang tercalar, boleh ganti casing, kalau kereta tercalar boleh cat baru, tapi bila thiqah tercalar...
 Dalam amal dakwah, thiqah adalah sifat yang diberikan kepada seseorang atas keperibadian mulia yang dimilikinya & kemampuannya untuk menjalankan tugas dakwahnya. Thiqah dalam amal dakwah mengakibatkan seseorang itu dipercayai untuk melakukan tugas, diterima pendapat & kata-katanya & dihormati keperibadiannya.Thiqah adalah status yang perlu dmiliki oleh semua penggerak dakwah. Tidak kira samada dia adalah pemimpin atau pengikut. Kewujudan thiqah membolehkan pemimpin dihormati & ditaati oleh pengikutnya sementara pengikut pula akan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab dakwahnya. Thiqah jugalah yang memastikan kemesraan antara seorang sahabat dengan sahabat yang lain.
Jadi seandainya thiqah telah luput dari kalangan kita, pemimpin telah hilang thiqah terhadap pengikutnya apatah lagi jika pengikut telah hilang thiqah terhadap pemimpinnya, yang muda telah hilang thiqah pada yang tua, rakan-rakan seperjuangan sudah hilang keyakinan sesama mereka. Organisasi akan porak peranda, amal dakwah akan tergendala, tanggungjawab akan terabai & setiap pihak yang terlibat pastinya akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala.Thiqah wujud apabila terpancar dari keperibadian seseorang itu segala nilai-nilai murni hasil dari penghayatannya terhadap Islam & perjuangannya. Di antara nilai-nilai ini, yang paling penting ialah keikhlasan, amanah & jujur dalam semua hal.


Jika sedikit sahaja orang tahu bahawa kita ini tidak ikhlas, amanah atau jujur, orang tidak akan lagi mempercayai kata-kata kita atau mentaati perintah kita atau menghormati keperibadian kita. Akibat paling buruk dari situasi ini ialah berleluasanya fitnah & tohmah & hilangnya hak ukhwah.

Perlu difahami bahawa thiqah juga adalah natijah dari ikatan hati antara manusia. Membina keikhlasan, amanah & kejujuran bukan satu perkara yang mudah bagi kita. Ia menuntut satu mujahadah yang panjang & sukar. Mengikat hati-hati manusia juga bukan satu perkara yang mudah.

Ertinya membina & memperolehi thiqah bukan satu usaha yang mudah. Thiqah menuntut satu pembayaran harga yang tinggi untuk memperolehinya. Ironisnya, thiqah begitu mudah untuk hilang dari kita. Ia hanya memerlukan sedikit kesilapan dari kita atau sedikit buruk sangka dari orang lain atau fitnah ke atas kita, maka hilanglah apa yang telah dibina selama ini dengan harga yang mahal.

Sekali thiqah hilang, sukar untuk diperolehi semula & jika ini berlaku, yang pertama sekali perlu disalahkan ialah diri kita sendiri.

Bagi pejuang dakwah, thiqah adalah sesuatu yang terlalu bernilai untuk dikorbankan kerana

tanpanya bagaimana orang akan menerima ajakannya kepada Islam & bagaimana organisasinya akan diterima oleh umum.

Peliharalah thiqah orang terhadap kita, berilah thiqah kepada mereka yang berhak & layak & jauhilah dari mencabuli kehormatan orang yang kita merasa sukar untuk men-thiqahnya/mempercayainya lagi.


Selalu bermonolog sendiri, kenapa
dia begitu, kenapa dia begini, kenapa dan kenapa. Seolah-olah setiap hari menanggung dosa kerana terlalu berprasangka. “Pemimpin tidak maksum dan pengikut tidak bodoh”    ubat yang terbaik adalah HUSNUZON yakni berbaik sangka, tapi ianya hanya bius sementara, perlu adanya perbincangan. Kerana jika tiada thiqah, maka mungkin akan wujudnya ketidakyakinan, kehormatan kepada yang memberi arahan, yakni pimpinan.



Entri ini bukan mahu mengurai pengertian thiqah secara menyeluruh, ilmu saya sendiri terbatas untuk itu, sekadar merungkai dari segi praktikal kedudukan thiqah dalam organisasi/jamaah. Adakah ia ukuran kepada ketaatan. Untuk peringatan kepada semua, terutamanya kepada tuan empunya blog. Waalahu'alam

Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau
tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka.
Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Anfal: 63)

Ya Allah, ampunkan kami andai kami silap mengukur, bersihkan hati kami, dan kembalikan kepercayaan kami kepada saudara kami..

1 comments:

HANA HUMAIRA said...

Bila thiqah telah tercalar, maka akan lunturlah sebuah ketaatan.
Bila ketaatan telah tercemar, rosaklah sebuah perhubungan,
Bila perhubungan telah tergores, maka hancurlah sebuah perjuangan.

Post a Comment

add this